SAYA berusia 21 tahun dan sedang menuntut di sebuah IPTA tempatan. Baru-baru ini, sepupu saya melangsungkan perkahwinan dengan seorang doktor. Ibu berasa begitu tercabar dan meminta saya mencari calon suami yang mempunyai kedudukan. Namun, mungkin kerana kuatnya doa seorang ibu, tahun lalu saya dipertemukan dengan seorang doktor.
Untuk pengetahuan Dr, lelaki itu seorang warga asing penganut agama kristian yang kuat. Pada mulanya ibu menentang hubungan berkenaan kerana faktor agama, namun melihat kesungguhan kami, ibu mula merestui asalkan dia memeluk Islam.
Saya sebenarnya masih merahsiakan identitinya yang bukan warganegara Malaysia. Jika ibu mengetahui hal berkenaan pasti dia menolak sama sekali.
Sebelum ini, sudah dua kali saya memiliki teman lelaki, tetapi kerana tidak mendapat restu ibu, saya terpaksa memutuskannya. Untuk kali ketiga ini, saya harapkan hubungan kami akan kekal berpanjangan.
Apakah tindakan yang perlu dilakukan bagi memperkenalkan Islam kepada teman lelaki saya seterusnya menambat hatinya memeluk Islam?
IRA, Selangor
ISLAM adalah agama yang benar dan berbentuk dakwah. Islam meletakkan tanggungjawab dakwah kepada umatnya. Ini penting dalam menyebarkan kebenaran dan memandu kehidupan yang sempurna di dunia dan akhirat.
Hasrat anda untuk memperkenalkan Islam kepada orang lain sangat bertepatan dengan ajaran Islam. Bagaimanapun, Islam tidak memaksa penganut agama lain untuk memeluk Islam.
Apa yang penting ialah memperkenalkan dasar pokok Islam, iaitu sistem kepercayaan dan syariah. Penerimaan kepada syahadah sangat penting dalam Islam.
Memandangkan tujuan anda berdakwah supaya calon suami tertambat hati kepada Islam ia tentu lebih sukar kecuali dia sendiri mempunyai minda yang terbuka sehingga dapat menerima Islam.
Anda perlu menerangkan kepadanya bahawa syariah Islam tidak membenarkan perkahwinan campur antara agama lebih-lebih lagi antara wanita Islam dengan lelaki bukan Islam.
Ini bertepatan dengan intipati ayat al-Quran yang bermaksud:
“Dan janganlah kamu kahwini wanita-wanita musyrik sebelum mereka beriman dan sesungguhnya seorang hamba wanita yang beriman itu lebih baik daripada wanita musyrik, sekalipun ia menarik hati kamu. Dan janganlah kamu (kahwinkan wanita Islam) dengan lelaki musyrik sebelum mereka beriman. Dan sesungguhnya seseorang hamba lelaki yang beriman lebih baik daripada lelaki musyrik, sekalipun keadaannya menarik hati kamu. (Yang demikian ialah kerana) orang-orang kafir itu mengajak ke neraka, sedang Allah mengajak ke syurga dan memberi keampunan dengan izin-Nya. Dan Allah menjelaskan ayat-ayat-Nya (keterangan-keterangan hukum-Nya) kepada umat manusia, supaya mereka dapat mengambil pelajaran (daripadanya).” (Surah al-Baqarah ayat 221)
Anda tidak boleh mengharapkan perkara berkenaan berjalan dengan mudah. Ini kerana anda sendiri menyatakan calon suami itu penganut Kristian yang kuat.
Sememangnya Kristian agama dakwah (missionary). Tentu akan ada usaha dakwah dalam soal berkenaan. Sekiranya pegangan Islam tidak kuat, anda mungkin dipengaruhi atas sebab cinta atau pangkat dan sebagainya.
Adalah baik jika anda tidak mengharapkan sepenuhnya dia sebagai calon suami. Letakkan prinsip agama yang paling utama dalam memilih jodoh.
Nabi Muhammad s.a.w bersabda yang bermaksud:
“Dinikahi seseorang wanita kerana empat perkara: kerana hartanya, keturunannya, kecantikannya dan agamanya. Maka pilihlah yang beragama, nescaya engkau akan beroleh keuntungan.” (Riwayat Bukhari & Muslim)
Selain itu, faktor umur anda yang masih muda tentu mempunyai banyak lagi pilihan dan kesempatan yang lain. Mohon doa kepada Allah s.w.t supaya mendapat jodoh yang baik.
Sumber dari Harian Metro
Koyok Ditempek : Lelaki melayu kan ramai lagi. Hehe..
0 komentar:
Posting Komentar
Trackbacks/Pingbacks